Tune Bekerjasama Dengan Super Strap Sediakan Insurans Bagasi

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) — Tune Protect Group Bhd bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan pembalut bagasi, Super Strap, untuk menawarkan pengembara yang membalut bagasi daftar masuk mereka perlindungan insurans percuma bagi sebarang kehilangan semasa dalam penerbangan.

Dikenali sebagai ‘Baggage Wrap Insurance’, ia ditaja jamin oleh Tune Insurance Malaysia Bhd, kata Tune Protect Group dalam satu kenyataan hari ini.

Perkhidmatan itu ditawarkan di enam lokasi iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Lapangan Terbang Miri, Lapangan Terbang Tawau, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (Kota Baharu), Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz (Subang), dan KL Sentral.

Kerjasama dengan Super Strap ini adalah satu lagi kaedah bagi kami dalam menawarkan perlindungan kepada pengembara, kata Ketua Pegawai Eksekutif Tune Protect Group, Junior Cho.

Source: BERNAMA, 19 February 2016